Thursday, June 9, 2011

Karya : Masih Aku Teringat Waktu Itu (Siri 1)

 Seorang Budak & Biji Getah

masih aku teringat waktu itu
sewaktu diusia kanak-kanak ku
pada awal pagi dihujung minggu
aku menemani emak pergi menoreh
dengan bekal nasi lemak dan air teh
menggunakan basikal tua jenama Royal
terus menuju ke kebun getah
ku berperang dengan nyamuk
dan bau busuk getah sekerap
tapi alah bisa tegal biasa
aku tempuhi jua kerana emak
dan aku mengambil tugas
mengumpul getah beku ke dalam baldi
disamping emak dengan torehannya

masih aku teringat waktu itu
aku meredah semak samun
dalam kebimbangan terhadap
ancaman ular dan serangga bisa
kerna menemankan emak menoreh
dalam tika aku masih kecil
aku beranikan juga diri dalam paksa
demi melindungi emak dari bahaya
kadang-kadang kulit terasa amat gatal
dek kerna pohon-pohon hutan yang tajam
tapi aku sangat berasa nikmat
kerana aku sangat dekat dengan alam
sejuk pagi yang mencengkam
namun mendamaikan jiwa

masih aku teringat waktu itu
dalam menunggu emak selesai
aku gemar mengutip biji getah
lalu aku bermain keseorangan
dengan pelbagai cara
semata-mata menghiburkan hati
kadang-kadang juga
aku cuba 'berkawan' dengan nyamuk
aku ajukkan bunyinya 'ngee ngeeee'
mengikut rentak yang biasa aku dengar
ajaibnya nyamuk itu datang menghampiriku
namun,akal kebudakan menyebabkan aku
'mengkhianati janji' dengan mereka
aku terus menampar-nampar nyamuk itu
dengan riak wajah yang puas

masih aku teringat waktu itu
seusai emak habes menoreh
baldi berisi getah disangkut
pada hendal basikal
emak mengerah kudrat lagi
mengayuh basikal untuk pulang
aku keriangan di belakang
kerana tak sabar tiba di rumah
namun,dipertengahan jalan
emak akan singgah di pusat longgokan
di mana getah-getah akan dijual
kepada peraih bernama pakcik Ramli
bila duit sudah dalam genggaman
pulanglah kami menuju rumah
dengan riang hatinya
sambil diiringi bau getah yang
busuk melantong..

berakhirlah sebahagian kisah
untuk kisah seterusnya....